KPWK cadang tubuh bahagian khas perkasa sukan OKU

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bercadang menubuhkan bahagian khas di bawah kementerian itu yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam pelbagai bidang, khususnya sukan.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan bahagian itu merupakan usaha untuk memperkasa potensi komuniti OKU melalui pendekatan lebih sistematik dan menyeluruh.

Menurutnya, cadangan tersebut akan dibentang kepada Kabinet Sarawak dalam masa terdekat bagi kelulusan dan pelaksanaan.

“Kita mahu Sarawak menjadi sebuah ‘powerhouse’ dalam arena sukan OKU, dan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kementerian untuk merealisasikannya.

“Kami berharap apabila cadangan ini dibentang ke Kabinet Sarawak, ia akan dipersetujui,” katanya pada Perasmian Sukan Olimpik Khas Sarawak Ke-7, anjuran Sukan Olimpik Khas Kuching Chapter, di Hikmah Exchange, di sini, semalam.

Fatimah yang juga Presiden Sukan Olimpik Khas Sarawak memberitahu, peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan dalam memupuk bakat OKU selama ini amat dihargai sehingga berjaya melahirkan ramai atlet berkaliber, yang telah mengharumkan nama Sarawak di persada antarabangsa.

Dalam hal ini, beliau memohon agar Kerajaan Sarawak tampil dengan sokongan institusi yang lebih kukuh agar usaha ini dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Temasya Sukan Olimpik Khas Sarawak kali ini bakal menyaksikan penyertaan seramai 461 atlet dari lima chapter, mewakili Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Miri dan Bintulu.

Sebanyak tujuh jenis sukan membabitkan 61 acara akan dipertandingkan bermula 3 hingga 5 Mei ini, di lokasi-lokasi yang ditetapkan iaitu acara balapan dan padang, renang, badminton, ping-pong, bocce, tenpin boling dan bola sepak.