Mini PKD Mobile di rumah panjang, kampung terpencil

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang memperkenalkan Mini Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile di rumah panjang atau perkampungan terpencil.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ini melihat sambutan positif sebanyak 23,714 program PKD Mobile yang memanfaatkan kira-kira 648,502 orang penduduk luar bandar negara ini sejak 2021.

“Maka, tahun ini kita bukan sahaja akan meneruskan PKD Mobile berskala besar,malah saya mencadangkan pada tahun lalu agar diperkenal Mini PKD Mobile di rumah-rumah panjang atau perkampungan terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program PKD Mobile di Pekarangan Parkir Lot Pasaraya Aiman di sini, hari ini.

Rubiah berkata, inisiatif baharu Mini PKD Mobile terbabit akan dilaksanakan mengikut konsep yang sama seperti PKD Mobile tetapi dalam skala yang lebih kecil, lebih fleksibel dan lebih dekat dengan komuniti pedalaman.

“Pelaksanaan Mini PKD Mobile ini bertujuan memastikan tiada komuniti desa yang tercicir daripada menerima perkhidmatan dan maklumat kerajaan,” tambahnya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) KKDW, Dato’ Dr Roslan Mahmood, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Noraina Masduki@Abdul Hanan dan Pengarah Bahagian Agromakanan dan Program Khas RISDA, Nor Azwa MD Salim.