KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
menyifatkan pemergian penulis dan wartawan veteran, James Ritchie sebagai satu kehilangan yang amat besar dalam dunia kewartawanan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Astana Negeri Sarawak hari ini, beliau serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mendiang James Ritchie yang meninggal dunia hari ini.
TYT juga menyuarakan rasa duka mendalam atas pemergian mendiang yang begitu mengejutkan.
“Mendiang adalah seorang yang sangat dihormati dalam dunia penulisan dan kewartawanan.
“Mendiang bukan sahaja seorang wartawan yang berdedikasi, tetapi juga seorang sahabat yang sentiasa mengenang dan menghargai setiap detik kenangan yang kami lalui bersama,” katanya.
Beliau turut mengenang detik-detik awal mengenali mendiang sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah St Thomas Kuching, serta pengalamannya bertugas sebagai Aide De Camp (ADC) kepada ayah mendiang, Dato Sri John Ritchie yang merupakan Pesuruhjaya Polis Sarawak pertama pada 1968.
“Mendiang adalah seorang yang luar biasa dalam banyak aspek, serta sentiasa memberi sokongan, semangat dan murah dengan kata-kata pujian.
“Saya akan sentiasa mengenang mendiang sebagai seorang sahabat dan rakan sepenulis dalam beberapa buku yang kami hasilkan bersama,” ujar beliau.
Lebih menyentuh hati, TYT juga berkongsi bahawa beliau dan mendiang merancang untuk bertemu pada 5 Mei ini bagi membincangkan kemajuan penulisan buku mereka.
“Segalanya telah dirancang, tetapi Tuhan lebih mengetahui. Kami reda dengan ketentuan-Nya,” jelasnya lanjut.
Dengan penuh rasa simpati, TYT dan Toh Puan mendoakan agar keluarga mendiang James Ritchie diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi waktu yang penuh cabaran ini.
