TYT, isteri serikan majlis resepsi anak Len Talif

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri majlis resepsi anak kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan isteri, Datin Asiah Awai yang berlangsung meriah di Kuching malam tadi.

Pasangan mempelai, Wan Abdullah Fahmi, 29, dan Nur Baizura, 29, telah disatukan dalam satu majlis akad nikah pada pagi Jumaat, 2 Mei 2025, dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat.

Wan Abdullah Fahmi merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Dato Wan Abdul Wahab Wan Sanusi dan isteri, Datin Jeliah Abo Bakar.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan antaranya Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol dan dif-dif kenamaan yang lain. 

Antara pengisian istimewa majlis ialah sesi merenjis yang dimulakan oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah, diikuti oleh ibu bapa kedua-dua pengantin. 

Turut diadakan ialah sesi ‘nasi temuan’ dan upacara pemotongan kek.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada artis tempatan, Hafiz Suip dan Firdaus Materang yang menghiburkan para tetamu dengan seleksi lagu-lagu romantis. — EDISI UKAS