Pesta Pantai Kampung Nelayan Batu Mandi berupaya tarik pelancong

BINTULU: Pesta Pantai Kampung Nelayan Batu Mandi mampu menjadi pemangkin pertumbuhan sektor pelancongan di Similajau.

Pesta terbabit julung kali dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Nelayan Batu Mandi dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Adventure Borneo dan disokong Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, pesta itu membabitkan acara sukan rakyat dan persembahan seni tradisional yang berupaya menjadi daya tarikan pelancong.

“Mereka akan berbelanja dan memberi banyak manfaat kepada yang terlibat dengan industri pelancongan seperti hotel, restoran, logistik dan industri kraftangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pesta Pantai Kampung Nelayan Batu Mandi, di sini, baru-baru ini.