KUCHING: Pengagihan sebahagian daripada jumlah pelaburan RM29.2 bilion Amazon.com Inc – Amazon Web Services (AWS) ke Sarawak akan mempercepatkan transformasi digital negeri ini menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelaburan AWS bernilai RM29.2 bilion di Malaysia sehingga 2038, wajar diagihkan ke Sarawak.
Ini disebabkan Sarawak hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia, katanya ketika berucap dalam Sarawak Public Sector Innovation Forum & Malaysia Media Briefing di sebuah hotel, di sini hari ini.
Beliau percaya AWS juga boleh memain peranan di negeri ini jika transformasi digital Sarawak mencapai sasarannya menjelang 2030.
Julaihi turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang stabil dari segi politik dan ekonomi.
Ujarnya, keyakinan dan kepercayaan terhadap keupayaan Sarawak amat penting dalam menarik pelaburan strategik seperti yang ditawarkan AWS.
