Kerjasama i-CATS, pemain industri TVET pacu inisiatif pendidikan percuma Sarawak

KUCHING: Sarawak kini semakin agresif memperjuangkan hak autonomi pendidikan wilayah ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, ini termasuk meneruskan penggunaan Bahasa Inggeris dan sistem pendidikan semasa yang tidak boleh diganggu sama sekali.

“Ini (MA63) merupakan dokumen yang sangat kukuh dan kami sedang berusaha ke arah mendapatkan autonomi ini. Gembira saya jelaskan di sini, kami mencapai banyak kemajuan dan perkembangan dalam hal itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat Kerjasama (LOI) antara Kolej Universtiti i-CATS dengan pemain industri serta institusi TVET, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Adana Jed; Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Datuk Ts Dr Mohamad Kadim Suaid.

Dr Annuar berkata, perkara itu bukan mudah untuk mendapatkan autonomi penuh bidang pendidikan, tetapi ini adalah impian mereka dalam Kerajaan Sarawak.

Majlis itu menyaksikan sebanyak 22 institusi TVET terlibat dalam pertukaran LOI manakala 14 industri turut terlibat dalam pertukaran MoU bersama Kolej Universiti i-CATS.

Dr Annuar berkata, pertukaran MoU dan LOI ini akan membuka ruang kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, serta memanfaatkan inisiatif Kerajaan Sarawak.

“Pelajar misalnya daripada Politeknik, kolej vokasional mahupun Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) boleh melanjutkan pelajaran di tahap pendidikan tinggi di i-CATS pada masa depan.

“Saya telah meminta Timbalan Naib Canselor di Universiti Teknologi Sarawak untuk mengadakan bengkel yang menghimpunkan semua universiti di Sarawak untuk membincangkan perkara ini,” katanya.