SYDNEY: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama delegasi Kerajaan Sarawak melakukan lawatan ke Pusat Prestasi Tinggi di Australia.
Lawatan itu bagi mempelajari teknologi, metodologi serta kemudahan latihan yang digunakan untuk melatih atlet elit negara berkenaan.
Ia juga untuk menggiatkan usaha projek penubuhan Pusat Prestasi Tinggi Sarawak yang bakal dibina di Kompleks Sukan Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Induk Pembangunan Sukan Sarawak dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar sukan negara.
Pusat ini bakal menyediakan persekitaran latihan bertaraf antarabangsa yang menekankan kecemerlangan dan membantu atlet mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Projek tersebut dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dijangka siap menjelang 2026.
Penubuhan Unit Prestasi Tinggi Sarawak sejak Februari 2019 merupakan langkah awal dalam menyediakan asas kepada pembangunan program latihan berstruktur dan menyeluruh bagi atlet dan jurulatih negeri ini.
Abdul Karim bersama delegasi bakal melawat ‘Australian Institute of Sport’ (AIS) di Canberra yang merupakan hab prestasi tinggi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan latihan, kepakaran sains sukan dan perubatan sukan, serta penginapan atlet dan dewan makan.
Ia turut diiktiraf sebagai Pusat Latihan Olimpik dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik yang menyumbang kepada kejayaan atlet Olimpik dan Paralimpik Australia.
Delegasi juga dijadual melawat ‘New South Wales Institute of Sport (NSWIS)’ di Sydney yang menyediakan persekitaran latihan harian bertaraf dunia kepada lebih 450 atlet dan jurulatih yang mewakili 28 jenis sukan di 10 lokasi latihan di seluruh New South Wales.
