PARIS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai rombongan dari Sarawak, mengadakan sesi perbincangan yang produktif dengan Ardian iaitu sebuah syarikat pelaburan swasta terkemuka dunia.
Perbincangan itu untuk memajukan industri semikonduktor dan inisiatif hidrogen hijau di Sarawak.
Dalam perbincangan dengan Ardian Hy24 dan pasukan semikonduktor itu, rombongan dari Sarawak bercakap mengenai kekuatan negeri dalam tenaga diperbaharui – terutama potensinya menghasilkan 20GW tenaga hidro – dan pertumbuhan ekosistem semikonduktor.
Ia disokong oleh inisiatif kerajaan negeri dan rakan kongsi seperti kolaborasi dengan CSA Catapult, UK.
“Kepakaran Ardian dalam menerokai semikonduktor dan infrastruktur hidrogen bersih sejajar dengan matlamat Sarawak untuk mempelbagaikan pembangunan industri berasaskan bernilai tinggi.
“Kita mendapati peluang begitu luas untuk pelaburan, pemindahan teknologi dan ekosistem pembangunan yang mempercepatkan transformasi industri kita,” katanya.
Hasil daripada perbincangan itu, Ardian komited meneruskan kajian ke atas kemajuan industri semikonduktor Sarawak dan kegiatan hiliran hidrogen hijau dengan potensi mengenal pasti pelaburan syarikat melalui sesi libat urus dengan InvestSarawak.
Kedua-dua pihak turut berbincang ekosistem hiliran serta peluang lain bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak.
