Projek naik taraf loji rawatan Air Bayong Fasa 2B tingkat kapasiti bekalan air Sarikei

SARIKEI: Projek menaik taraf loji rawatan Air Bayong Fasa 2B siap dilaksana, meningkatkan kapasiti loji kepada 100 Juta Liter Sehari (JLH) untuk memberi manfaat kepada penduduk di Sarikei.

Projek bernilai RM68.4 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana.

Skop projek melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 JLH, muka sauk, pemasangan saluran paip air mentah dan pelbagai kerja sokongan lain.

Peningkatan kapasiti ini dijangka mampu menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di Bahagian Sarikei khususnya di kawasan Tanjung Manis, Belawai serta Pulau Bruit.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan amat serius dalam meningkatkan infrastruktur asas rakyat yang bukan sahaja menyelesaikan masalah air, malah membuka jalan kepada pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar.

Ujarnya, ia adalah usaha bersepadu untuk mengatasi isu bekalan air serta memperluas liputan kawasan yang mendapat bekalan bersih dan berkualiti.

“Inisiatif ini sejajar dengan misi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pembangunan prasarana asas yang mampan dan inklusif,” katanya semasa lawatan kerja ke loji berkenaan hari ini.

Menurut Julaihi, perasmian loji ini nanti akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 14 Mei ini nanti.

Tambah beliau, JBALB Sarawak turut memberi jaminan untuk terus memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan agar disiapkan mengikut jadual, sekali gus memastikan kesinambungan bekalan air berterusan kepada rakyat.

Turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; wakil Dato Sri Huang Tiong Sii, Wong Zee Yeng; Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias; Pengarah JBALB Sarawak, Ir Ts Awang Mohamad Fadilah Awang Redzuan dan Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin.