Projek RSP Tabuan Melayu II dibincang bersama penduduk

KUCHING: Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Tabuan Melayu II di kawasan Demak Laut di sini akan disiapkan satu blok perumahan pada 2026 manakala blok perumahan kedua pada 2027.

Menurut kenyataan media Pejabat Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, projek merangkumi sejumlah unit rumah mampu milik dilengkapi dengan infrastruktur moden termasuk sistem perparitan, loji rawatan kumbahan, pencahayaan jalan dan jaringan jalan raya yang tersusun.

Rumah terbabit pula khusus untuk penduduk Tabuan Melayu yang memenuhi syarat-syarat permohonan seperti golongan B40 dan tidak memiliki tanah dan rumah.

“Projek ini dimulakan pada Ogos 2023. Penyiapan satu blok perumahan menjelang hujung tahun 2026 dan penyiapan blok kedua pada penghujung 2027,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abg Hipni dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah memulakan sesi libat urus bersama penduduk terlibat bagi membincangkan isu yang timbul.

“Projek RSP Tabuan Melayu II adalah bukti nyata bahawa kerajaan negeri serius dalam agenda pemerkasaan rakyat melalui penyediaan kemudahan asas yang inklusif dan mampan,” tambahnya.

Penduduk DUN Demak Laut diseru untuk terus memberi sokongan agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati secara menyeluruh dalam jangka masa panjang.

Juga hadir di sesi itu ialah Pegawai Projek HDC, Hassan Azli Huspi dan Pegawai Tadbir Tanah, Land Survey, Farid Nazmi Nuwen.