ABU DHABI: Sarawak mahu mencontohi model pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang di Abu Dhabi bagi melaksanakan sektor sama di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk melihat dari aspek perspektif perkhidmatan dan kos.
“Kalau Pelabuhan Abu Dhabi, ia dilaksanakan melalui gandingan sektor swasta dan sektor awam. Kita melihat sektor swasta turut membantu pembangunan pelabuhan ini.
“Selain itu kita hendak mengenalpasti model terbaik untuk membangunkan industri penerbangan kita,” jelasnya kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di sini, hari ini.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan mengadaptasi kepesatan teknologi yang digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed sebagai model pembangunan sektor sama di Sarawak.
“Kita telah melihat bagaimana Abu Dhabi membangunkan lapangan terbang yang begitu canggih dan menggunakan teknologi terkini termasuk pergerakan langsung penumpang di dalam lapangan terbang ini.
“Dan juga dari sudut seni bina ia adalah bangunan yang berada dalam kategori indeks bangunan hijau. Kita mempunyai semua komponen yang diperlukan untuk membangunkan lapangan terbang.
“Kita juga perlu melihat masa depan kerana Sarawak baharu membangun. Kita perlu mengambil kira apa yang berlaku di pasaran,” tambahnya lagi.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan Abu Dhabi Ports Group di Pelabuhan Khalifa.
Mengulas mengenainya, Abang Johari berkata kerjasama strategik di antara BPHB dan Abu Dhabi Ports Group akan membentuk jaringan global ke kawasan Asia Pasifik yang membawa impak positif kepada Sarawak.
Katanya, kerjasama dua agensi tersebut mampu meningkatkan kapasiti pelabuhan di Samalaju dari jaringan di antara pelabuhan Abu Dhabi dan di Sarawak khususnya Bintulu.
“Menerusi kerjasama ini, Pelabuhan Abu Dhabi yang terletak di tengah-tengah laluan maritim dengan Afrika dan Eropah akan secara langsung mewujudkan jaringan ke kawasan Asia Pasifik.
“Dari sudut perhubungan tersebut, kita rasa kita boleh memainkan peranan menerusi satu kerjasama yang erat secara ekonomi di antara pelabuhan Abu Dhabi dan juga pelabuhan kita di Sarawak,” ujarnya lagi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Adenan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak yang lain. -UKAS
