Paip lama, uzur di Betong diganti, dana dibiayai Kerajaan Sarawak

SARATOK: Peruntukan sejumlah RM52.76 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan menggantikan paip lama dan uzur di seluruh Bahagian Betong.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek sepanjang 88.11 Kilometer (KM) itu diletakkan di bawah Projek Bekalan Air Daerah Kabong.

Katanya, keseluruhan 12 projek itu membabitkan kos RM107.5 juta dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak.

“Projek pembinaan tangki aras tinggi di Balai Ruai Saratok dengan kos sebanyak RM13 juta siap sebanyak 30.42 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan,” katanya semasa melakukan lawatan rasmi beliau ke Loji Rawatan Air Bahagian Betong di Kabong dekat sini, semalam.

Julaihi berkata, masalah bekalan air terawat yang kerap menghantui penduduk di Daerah Kabong dan kawasan sekitarnya dijangka selesai menjelang tahun depan.

Beliau berkata ia adalah berdasarkan prestasi semasa dan perkembangan positif projek pembinaan sistem kritikal di Loji Rawatan Air Lichok yang kini sedang mendahului daripada jadual asal sebanyak 10 peratus pelaksanaannya.

“Dengan sistem kritikal yang akan siap pada Oktober ini, kita akan mempunyai tambahan bekalan air terawat sebanyak 10 Juta Liter Sehari (MLD) di Loji Rawatan Air Lichok.

“Dengan itu, masalah air yang kerap berlaku di Kabong dan kawasan sekitarnya dijangka dapat selesai sekurang-kurangnya tahun depan,” katanya.

Turut hadir ialah ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik dan Pengarah JBALB Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.