Sarawak belajar dari Australia bangunkan pusat sukan prestasi tinggi

CANBERRA: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama delegasi kerajaan negeri meneruskan lawatan kerja rasmi ke Australia dengan melawat Institut Sukan Australia (AIS) di Canberra hari ini.

Lawatan tersebut sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan penubuhan Pusat Prestasi Tinggi (HPC) di Kompleks Sukan Petra Jaya.

Turut serta dalam lawatan ialah Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Daro Safiee Ahmad; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri yang lain.

Lawatan ini turut disertai beberapa pegawai tinggi AIS antaranya Gareth Candy (Pengarah, Perhubungan Menteri dan Kerajaan), Mr Brooke De Landre (Ketua Staf), dan Madison Searle (Pegawai Perhubungan Kanan Menteri).

AIS yang terkenal sebagai pusat utama pembangunan atlet elit Australia, memiliki tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti nutrisi sukan, analisis prestasi, psikologi, biomekanik, fisiologi, pemulihan, pendidikan kerjaya atlet, dan penyelidikan prestasi beraplikasi.

Semasa lawatan, delegasi kerajaan Sarawak telah diberi taklimat dan turut menjalani lawatan menyeluruh ke seluruh kampus AIS bagi meneliti pendekatan canggih dalam sains sukan dan kemudahan bertaraf dunia yang ditawarkan di institusi tersebut.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk mengadaptasikan teknik sains sukan terkini ke dalam program latihan di Sarawak dan menjana idea untuk peningkatan infrastruktur sukan berdasarkan model AIS di samping meneliti reka bentuk inovatif yang menyatukan fungsi, estetik dan kelestarian.

Lawatan itu juga untuk memahami pengalaman pengguna termasuk atlet, jurulatih dan penonton dalam konteks reka bentuk dan susun atur fasiliti serta meneroka integrasi teknologi pintar seperti pencahayaan automatik, kawalan iklim dan sistem audio visual dalam kemudahan sukan.

Selain itu, ia juga untuk menilai bahan binaan dan teknik pembinaan yang mampan, tahan lama dan mudah disenggara seterusnya mengkaji strategi perancangan ruang yang fleksibel untuk pelbagai aktiviti dan acara sukan.

Objektif lain untuk menilai aspek keselamatan dan kebolehcapaian fasiliti bagi memastikan reka bentuk yang inklusif dan seterusnya mengenal pasti pendekatan reka bentuk yang menjimatkan kos serta strategi penyelenggaraan jangka panjang.

Lawatan ini memainkan peranan penting dalam pengumpulan maklumat dan inspirasi untuk pembinaan Sarawak High Performance Centre, yang dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi Sarawak sebagai kuasa besar sukan negara.

Dengan mencontohi kejayaan AIS, Sarawak berhasrat untuk membina fasiliti berkelas dunia yang menyokong pembangunan atlet bertaraf antarabangsa dan memperkukuh ekosistem sukan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *