LAWAS: Pertandingan memancing ikan kategori wanita terbuka anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Punang berjaya menarik seramai 95 penyertaan.
Ia sekali gus mencerminkan sambutan hangat masyarakat terhadap acara berunsur tradisional dan rekreasi.
Menariknya, pertandingan ini turut mengetengahkan tema pakaian tradisional, menjadikannya lebih meriah dan unik berbanding acara seumpamanya sebelum ini.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari, Awang Aris, acara sebegini bukan sahaja menjadi platform pengukuhan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi, malah menyemarakkan semangat cintakan budaya serta meningkatkan kesedaran terhadap perjuangan parti.
“Kita mesti pastikan Parti PBB terus kuat dalam usaha menuntut hak Sarawak.
“Perpaduan dan kekuatan di peringkat kampung sangat penting bagi menjayakan agenda ini,” katanya.
Selain pertandingan memancing, pengunjung turut dihiburkan dengan pertandingan karaoke terbuka, aktiviti teka syiling dalam tabung serta gerai jualan yang memeriahkan suasana di sepanjang tebingan pantai Punang.
Majlis turut dihadiri Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang Azmi Awang Aris serta Ketua Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Aujiana Garip.
