Status jalan kampung di Sarawak bakal dinaik taraf, kertas kabinet dirangka

BINTULU: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak sedang merangka satu kertas kabinet bagi menaik taraf status jalan kampung kepada jalan negeri.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana bagi jalan kampung, kos penyelenggaraan hanya sekitar RM1,000 bagi setiap kilometer (km).

“Tapi kalau jalan negeri, boleh meningkat sehingga RM3,000 bagi setiap km,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Gawai 2025 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus, di sini, semalam.

Selain itu, Uggah juga menyarankan ahli parti Cawangan Kakus disaran melakukan kajian mikro dan analisis sosial terhadap masyarakat setempat.

“Kita di DUN Kakus perlu buat satu kajian siapa daif, siapa bercucuk tanam, siapa bersekolah, supaya kita tahu bagaimana nak bantu mereka melalui parti dan Kerajaan GPS,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus Datuk Sri John Sikie Tayai, ADUN Machan Allan Siden Gramong, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Residen Bahagian Bintulu Datuk Nyurak Keti serta Ketua Cawangan PBB Kakus Nelson Mujah Girie .