SRI AMAN: Kontraktor yang telah menerima Surat Lantikan (LOA) diingatkan agar memulakan kerja-kerja lapangan dalam tempoh 30 hari dari tarikh LOA.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi semasa lawatannya ke Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) hari ini.
Abdul Rahman menekankan agar agensi bertanggungjawab memastikan arahan ini dipatuhi bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek.
Katanya, agensi pelaksana perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan arahan ini dipatuhi tanpa kompromi.
“Kerjasama padu antara semua pihak termasuk RDA, agensi pelaksana dan pemantau penting bagi memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Katanya, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan pembangunan wilayah dilaksanakan secara inklusif, cekap dan berimpak tinggi, selaras dengan matlamat pembangunan seimbang di seluruh negeri.
Terdahulu, sesi taklimat disampaikan Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling bertujuan memberi penerangan menyeluruh tentang SADA.
Taklimat tersebut turut memperlihatkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di kawasan luar bandar.
Turut serta dalam taklimat tersebut adalah Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim; Pemangku Residen Sri Aman, Mahra Salleh; pegawai-pegawai kanan dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU).
