Pesta Agro Pakan dedah pertanian moden pada petani luar bandar

PAKAN: Pesta Agro Pakan menjadi platform dalam memperkenalkan pendekatan dan teknologi pertanian moden kepada petani luar bandar.

Menteri Industri Makanan,Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ia turut memberi impak terhadap peningkatan pendapatan.

Katanya, petani perlu mengubah paradigma lama dengan menggunakan pendekatan baharu untuk mengangkat sektor pertanian ke tahap lebih tinggi.

“Kita mesti mengubah cara lama, kita gunakan cara baharu, mengubah cara pemikiran supaya dapat memperkasakan aspek pertanian sebagai sumber pendapatan khususnya di luar bandar.

“Dalam perancangan PCDS 2030, kita mensasarkan setiap isi keluarga tidak kurang daripada RM15,000 setahun berbanding RM6,000 pada sasaran awal,” katanya selepas merasmikan pesta tersebut Stadium Pakan hari ini.

Menurutnya, di bawah PCDS 2030, Kerajaan Sarawak mengenal pasti sektor pertanian sebagai antara sektor utama yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Ia akan menekankan empat fokus utama iaitu meningkatkan keterjaminan makanan; menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan penting kepada kerajaan; meningkatkan pendapatan isi rumah petani; serta menjadikan Sarawak pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata penganjuran program seperti ini amat bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memperkasa sektor pertanian, komoditi dan industri makanan sebagai salah satu pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar.

Pada tahun ini, penganjur menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung dengan sasaran jualan meningkat kepada RM150,000.