Tunjukkan sikap prihatin terhadap pemegang tongkat putih

SARATOK: Program Mobiliti Bersama Tongkat Putih diyakini mampu memberi kesedaran orang awam terhadap golongan cacat penglihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran itu untuk memberi pendedahan kepada orang ramai supaya bersikap prihatin mendekati golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menggunakan tongkat putih.

“Penganjuran program oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Sarawak mampu memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung hak-hak OKU penglihatan.

“Ia menyuntik kesedaran umum agar bersikap prihatin terhadap pemegang tongkat putih,” katanya semasa merasmikan Penganjuran Mobiliti Bersama Tongkat Putih di Saratok Town Square dekat sini.

Mohamad Duri berkata, program mobiliti berkenaan diharap memberi kesedaran kepada masyarakat menyelami perasaan mereka yang mengalami masalah penglihatan.

Mohamad Duri turut berterima kasih atas penglibatan 55 ahli pertubuhan (cacat penglihata ) dan 15 sukarelawan yang menjayakan program itu.

Pengerusi SBM Cawangan Sarawak, Isak Ngau turut memberikan pencerahan berkaitan pertubuhan SBM Cawangan Sarawak yang disertai lebih 300 ahli.