KUCHING: Kerajaan Persekutuan yang mengiktiraf Petros sebagai agregator tunggal gas di Sarawak akan membincangkan perjanjian komersial merangkumi penambahan pegangan dalam LNG, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dokumen persetujuan antara Petronas dan Petros sudah ada dan tunggu dalam masa dua tiga hari lagi untuk mendapat keputusan sebenarnya.
“Ini adalah antara tiga perkara penting yang akan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesepakatan untuk menyelesaikan isu kerjasama antara Petronas dan Petros,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Pembangunan Antarabangsa Borneo 2025 (ICW) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Perdana Menteri, katanya, mengiktiraf Undang-undang Persekutuan dan Undang-undang Negeri.
Sementara itu, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri 9 Mei lalu, memaklumkan, beliau dan Premier Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petronas dan Petros.
