RH Group teraju transformasi industri Sarawak ke peringkat global

SIBU: Selama lima dekad, Kumpulan Rimbunan Hijau (RH Group) menempa pelbagai kejayaan cemerlang, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam transformasi industri di Sarawak.

Bermula sebagai sebuah syarikat pembalakan tempatan, RH Group kini telah berkembang pesat dalam pelbagai sektor di peringkat antarabangsa, menjadikannya antara entiti korporat terkemuka di arena global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pencapaian luar biasa itu sebagai bukti bahawa syarikat tempatan mampu bersaing dan mengukir nama di persada dunia.

“RH Group telah muncul sebagai bintang cemerlang dari Sarawak, menerajui industri pembalakan dengan kecemerlangan yang tiada tandingan serta menjadi kebanggaan kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 RH Group di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) malam tadi.

Dalam ucapan sama, Abang Johari turut menekankan bahawa Sarawak kini sedang melalui fasa transformasi ekonomi yang lebih menyeluruh, dengan fokus khusus terhadap pembangunan ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Kita bertekad untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau di Asia Tenggara, dan syarikat seperti RH Group merupakan antara pemain utama dalam merealisasikan misi ini,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyaksikan penyerahan simbolik RH Group mencipta rekod baharu menerusi tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Ia merangkumi Pertunjukan Bunga Api Pyromusical pada Altitud Tertinggi, Pertunjukan Asap Bunga Api Pelbagai Warna Pertama di Malaysia dan Hadiah Tertinggi Pernah Ditawarkan bagi kategori ‘Hole-in-One’ dalam kejohanan golf.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri, Pengarah Urusan RH Group, Datuk Tiong Thai King.