RM3.55 bilion diperuntuk bina kuarters moden penjawat awam Sarawak

SARIKEI: Sebanyak RM3.55 bilion diperuntuk Kerajaan Sarawak untuk membina sebanyak 3,673 unit kuarters bagi menempatkan Penjawat Awam Sarawak (SCS).

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kuarters kediaman berkonsepkan pangsapuri moden ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk gimnasium dan tempat riadah.

“Kita harus memberikan keselesaan kepada penjawat awam. Oleh itu, kita meluluskan peruntukan lebih RM3 bilion untuk mendirikan kuarters baharu di seluruh Sarawak untuk penjawat awam.

“Namun, kita ubah cara pembinaannya agar tidak seperti dahulu di mana kita akan membina kuarters berkonsepkan apartmen untuk pegawai kerajaan.

“Kita berikan tempat-tempat rekreasi termasuk gimnasium,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei hari ini.

Abang Johari turut mencadangkan agar lokasi pembinaan kuarters ini dibuat berdekatan pusat sukan seperti stadium.

Ini bagi membolehkan penjawat awam memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menjelaskan peruntukan keseluruhan pembinaan kuarters berkenaan adalah sebanyak RM3.55 bilion.

“Kerajaan Sarawak pimpinan Premier telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.55 bilion bagi membina sebanyak 3,673 unit kuarters.

“Ini merupakan sumbangan dan pengiktirafan besar kerajaan Sarawak terhadap kita, anggota perkhidmatan awam,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri-Menteri Kabinet Sarawak; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.