SIBU: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Akut di Sungai Sadit siap sepenuhnya dan mula beroperasi mengeluarkan empat juta liter air sehari.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, loji yang berharga sekitar RM5 juta itu mula dibina September 2024 mampu mengurangkan tekanan terhadap dua loji utama, Loji Rawatan Air Salim dan Loji Bukit Lima.
“Dengan beroperasinya Loji Rawatan Air Akut ini, beban di Loji Salim yang kini menghasilkan 150 juta liter sehari serta Loji Bukit Lima dapat dikurangkan.
“Ini membolehkan kedua-dua loji menumpukan bekalan air kepada kawasan bandar Sibu, manakala penduduk di Sungai Sadit dan kawasan berhampiran menerima bekalan yang lebih stabil,” katanya selepas merasmikan loji tersebut semalam.
Tegas Julaihi, usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan semua kawasan di Sibu menerima bekalan air mencukupi dan berkualiti meskipun liputan bekalan air di bahagian itu kini berada pada tahap 87.2 peratus.
Katanya, kerajaan juga sedang menaik taraf Loji Rawatan Air Salim untuk mencapai kapasiti 300 juta liter sehari serta menjalankan kajian bagi menambah kapasiti Loji Bukit Lima, sejajar dengan keperluan masa hadapan.
Julaihi turut menekankan kepentingan mengurangkan kadar air tidak terhasil yang kerap berlaku akibat paip bocor berpunca daripada faktor usia, pergerakan tanah atau kerosakan semasa kerja pembinaan.
“Saya menggesa kontraktor dan pihak terlibat agar lebih berwaspada dan segera melaporkan kerosakan kepada pihak berkuasa untuk memastikan bekalan air tidak terganggu,” tegas beliau.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan projek pembinaan loji ini dirancang untuk menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta memenuhi permintaan bekalan semakin meningkat di kawasan Sungai Sadit dan sekitarnya, di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.
Projek dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu turut merangkumi pemasangan saluran paip baharu ke dalam sistem agihan sedia ada, dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk
