Gedong akan punyai Masjid, dewan baharu

GEDONG: Gedong akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang akan dikenali sebagai masjid daerah Gedong.

Wakil Khas kepada Premier Sarawak di DUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, selain itu Gedong juga akan mempunyai Dewan Datuk Patinggi Ali baharu serupa dengan BCCK di Kuching.

Katannya, pembinaan prasarana itu selari dengan pembangunan pusat pentadbiran baharu di isthmus Gedong yang sedang dilaksanakan.

Menurutnya, masjid daerah Gedong yang serba lengkap ini kelak akan dibina berhampiran Kampung Lalang Hilir dan jalan raya yang menghubungkan ke kawasan isthmus Gedong.

“Insya Allah….. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga ADUN Gedong dijangka melakukan upacara pecah tanah bagi kerja pembinaan masjid daerah Gedong
dan pusat pentadbiran baharu selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Tilawah AlQuran Peringkat Daerah Gedong di Masjid Al-Kawthar Gedong malam tadi.

Mohd Naroden juga mengumumkan bahawa usaha kini dilakukan bagi menaik taraf Masjis Al-kawthar Gedong yang ada sekarang.

Katanya, Premier Sarawak yang juga ADUN Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan RM3 juta untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf masjid ini supaya ia kelihatan lebih cantik dan menarik.

“Kerja menaik taraf Masjid Al-Kawthar sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada November tahun ini,” katanya.

Sementara itu, dua peserta qariah dari daerah Gedong iaitu Siti Khadizah Hasan dan Norbasitah Bahar diumumkan layak ke tilawah Al-Quran peringkat Bahagian Samarahan yang dijadual pada malam ini (Khamis) dan malam esok (Jumaat).