BINTULU: Kementerian Pengangkutan Sarawak melancarkan pelekat mesej keselamatan jalan raya khas sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelekat ini direka bentuk bagi diletakkan dalam kenderaan sebagai peringatan kepada pemandu serta penumpang agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Ini adalah kali pertama kita menggunakan pelekat keselamatan dalam kempen kesedaran jalan raya sempena Gawai. Ia mudah dilihat setiap kali berada dalam kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Gawai Dayak 2025 Peringkat Bahagian Bintulu di hadapan Stesen Petronas, Jalan Sibiyu, di sini, hari ini.
Lee berkata, pelekat ini dilihat lebih berkesan kerana mesej keselamatan sentiasa berada dalam ruang pandangan pengguna jalan raya, berbanding risalah atau hebahan biasa yang sering diabaikan.
