SEBUYAU: Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Sebangan di sini, hari ini.
Lawatan itu sebagai usaha memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara saksama di seluruh negara.
Lawatan ini bukan sahaja berfungsi sebagai tinjauan terhadap kemudahan dan keperluan infrastruktur sekolah luar bandar, malah memperlihatkan pendekatan proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan suara guru dan pelajar di pedalaman turut diberi perhatian serius.
Ia mencerminkan prinsip asas KPM yang menekankan bahawa setiap murid – walau di mana berada – berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Dalam lawatan itu, Fadhlina dapat melihat keadaan fizikal sekolah yang uzur dan memerlukan pembinaan semula.
Ia merupakan isu kritikal yang sering diketengahkan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli untuk tindakan segera di peringkat Dewan Rakyat.
Dalam suasana santai dan tanpa protokol rasmi, beliau menyampaikan penghargaan kepada tenaga pengajar sempena Sambutan Hari Guru 2025, sebagai pengiktirafan kepada dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.
Pengetua SMK Sebuyau, Awang Abas Awang Lawi menyifatkan lawatan ini sebagai satu bentuk dorongan moral yang amat bermakna kepada warga pendidik.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli; Pegawai Pendidikan Bahagian Samarahan, Shibni Saini dan Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh.
