KUCHING: Dasar Program Dwibahasa (DLP) yang dipraktikkan Kerajaan Sarawak dalam sistem pendidikan negeri ini bertujuan melengkapkan pelajar dengan pelbagai ilmu terkini melalui penguasaan bahasa Inggeris.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendekatan tersebut bukan bertujuan mengagungkan bahasa Inggeris, sebaliknya Sarawak mahu anak-anak menguasai pelbagai cabang ilmu khususnya kecerdasan buatan (AI) dan sains.
“Walaupun bahasa Inggeris ini bahasa orang putih, tetapi kita lihat dari perspektif bahasa dari sudut ilmu.
“Dengan adanya teknologi yang canggih hari ini termasuk AI, dan juga teknologi-teknologi yang baru, mahu tidak mahu, kita mesti melengkapi diri dengan teknologi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam “Berambeh Segulai Sejalai” sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 Tahun 2025 di sini, malam tadi.
Menurut Abang Johari, bagi memastikan anak-anak negeri ini mahir dalam bidang tersebut, kerajaan negeri katanya komited membantu melatih tenaga pengajar dengan ilmu terkini untuk diajarkan kepada para pelajar.
“Ini pendekatan kerajaan Sarawak, kita tidak mendewa-deakan bahasa Inggeris. Tetapi kita ambil bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu,” katanya lagi.
Premier Sarawak mengambil contoh kejayaan syarikat teknologi gergasi dari China, Huawei yang berjaya mengusasai pasaran dunia hingga dikagumi negara barat hasil penguasaan tinggi mereka dalam bahasa Inggeris.
Di peringkat tempatan pula, Abang Johari berkongsi kejayaan anak Sarawak yang berjaya mencipta cip yang pertama di dunia dikuasakan oleh AI.
Katanya, cip keluaran anak Sarawak ini telah dikongsikan bersama syarikat gergasi seperti Siemens dan General Electric di mana ia boleh digunakan dalam industri aeroangkasa, otomotif dan industri canggih yang lain.
Hadir sama dalam majlis tersebut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
