Cip nano AI buatan anak tempatan

KUCHING: Sarawak akan berada di persada global jika cip nano berkuasa kecerdasan buatan (AI) ciptaan anak tempatan menjadi kenyataan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, cip AI itu mampu memberi penyelesaian dalam masa satu pertiga saat kepada pelbagai masalah, termasuk bidang tenaga dan automotif.

Cip tersebut sedang menunggu pendaftaran harta intelek (IP) di peringkat antarabangsa dan ia merupakan peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama di dunia, katanya pada program Jelajah Kreatif Digital anjuran Kementerian Digital Malaysia di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, seperti syarikat NVIDIA tidak menghasilkan cip, tetapi mereka hanya merekabentuk cip sama seperti Sarawak yang juga hanya merekabentuk cip terbabit.

“Kalau perkara ini menjadi kenyataan, ia akan meletakkan Sarawak di persada global,” katanya sambil memberitahu berkongsi kejayaan membanggakan itu kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.

“Saya memberitahu Perdana Menteri, sebaik sahaja kita mendapat pendaftaran IP, saya mahu beliau melihat dan melancarkannya,” katanya.

Hadir sama, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Abang Johari juga berkata Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun lalu bagi memajukan industri digital di wilayah ini.

Pelaburan itu disalurkan melalui agensi-agensi seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC)

Beliau menambah, usaha menaik taraf infrastruktur turut dijalankan secara serentak, dengan purata perbelanjaan tahunan mencecah RM600 juta setahun.

“Dalam tempoh lima tahun, ini bermakna kira-kira RM600 juta setahun telah kita belanjakan daripada wang kita sendiri. Ini adalah pelaburan jangka panjang dan akhirnya, anda akan mendapat manfaat daripada pelaburan jangka panjang itu,” ujarnya.