KUCHING: Dasar pendidikan negara perlu dikekalkan secara berterusan sekurang-kurangnya selama 50 tahun dan tidak berubah-ubah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perubahan dasar setiap kali menteri baharu dilantik hanya akan menjejaskan kelangsungan sistem pendidikan, membebankan guru serta memudaratkan pelajar yang menjadi mangsa kepada ketidaktentuan tersebut.
“Jangan setiap lima tahun, maksud saya bila berlaku pilihan raya umum, bertukar menteri, bertukar sistem, bertukar sukatan pelajara, bertukar kaedah.
“Pendidikan tidak wajar dijadikan bahan uji kaji dan dasar sedia ada seharusnya diteruskan serta ditambah baik secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sebagai maklum balas pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Zahid turut menyokong penghantaran 32 guru ke United Kingdom melalui program GIFTS.
Malah, beliau mencadangkan jumlah itu ditingkatkan kepada 320 orang sebagai galakan kepada warga pendidik.
Beliau turut memuji usaha memperkukuh ekosistem pendidikan berasaskan digital dan kemahiran, khususnya dalam bidang STEM dan TVET, sejajar dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Menurutnya, 57 MRSM kini menggabungkan pendekatan ulul albab dan memberi tumpuan kepada STEM, manakala pengajaran STEM juga perlu lebih kreatif bagi menarik minat pelajar.
