BINTULU: Masyarakat disaran bersama menangani isu penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, masyarakat perlu melaporkan maklumat tepat dan sahih berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa.
“Kita semua harus bersama-sama menjaga keselamatan komuniti dengan menjadi mata dan telinga yang prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian papan tanda Anti Dadah anjuran One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Bintulu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Bintulu di Kampung Warisan Jepak di sini semalam.
Iskandar menyambut baik pemasangan papan tanda itu dengan dilengkapi nombor penting agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan One Stop Centre (OSC).
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai akan tampil untuk mendapatkan bantuan serta menyalurkan maklumat mengenai pengedaran bahan terlarang itu dengan pemasangan papan tanda terbabit.
