Jambatan baharu hubungkan Tanah Putih ke Parit Bugis akan dibina

SARIKEI: Sebuah jambatan baharu yang merentasi Batang Rajang dari Tanah Putih ke Parit Bugis di sini akan dibina, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia bagi menyokong pembangunan semula sektor pertanian dan pembinaan taman agro moden di kawasan itu.

“Pembinaan jambatan itu sejajar inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar dan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi ke Jalan Sibu di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan aksesibiliti ini kepada penduduk, termasuklah menaik taraf jalan ke taman agro itu nanti.

“Dalam mesyuarat yang lalu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh memberitahu saya bahawa jalan menuju ke agropark masih lagi jalan kebun, oleh itu kita akan menaik taraf jalan berkenaan kerana ianya adalah agropark, kebun moden maka jalannya juga perlu moden,” katanya.

Kawasan tersebut dahulunya merupakan pusat kegiatan pertanian tradisional dan kini telah dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk pembangunan taman agro.

Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak turut memaklumkan dua lagi projek sedang dipertimbangkan, iaitu menaik taraf Jalan Bintangor–Sarikei dan pembinaan jalan raya dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo (LPB).

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii.