Jambatan Batang Rajang dinamakan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman

SARIKEI: Jambatan Batang Rajang dinamakan sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas membuat pengumuman rasmi
tersebut sebagai penghormatan kepada tokoh Sarawak terbabit.

“Pemilihan nama jambatan ini amat bertepatan bagi memperingati jasa beliau dalam politik dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi Sarikei yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Uggah berkata, Tuanku Bujang dilahirkan di Sibu 12 Disember 1898 memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam Sarawak 1934. Allahyarham merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua dari 1969 hingga 1977.

Katanya, selepas bersara dari perkhidmatan awam, tokoh itu aktif dalam bidang politik dan salah seorang pengasas Barisan Ra’ayat Jati Sarawak (BERJASA) serta memainkan peranan penting dalam penggabungan BERJASA dan Parti Negara Sarawak (PANAS) untuk membentuk Parti Bumiputera pada 1968.

Menurutnya, tokoh terbabit bersama Ketua Parti Pesaka ketika itu, Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka untuk membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Mereka berdua adalah antara pengasas utama yang memperjuangkan penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Tambah Uggah, legasi Tuanku Bujang dalam sejarah Sarawak sangat signifikan, khususnya dalam aspek perpaduan dan pembangunan ekonomi di Wilayah Tengah dan meninggal dunia November 1986.