Projek gantian, tambahan bangunan SMK Saribas siap

DEBAK: Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021) bukti usaha Kerajaan Madani menangani fasiliti dan infrastruktur daif di sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan Projek Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, Debak itu membuktikan usaha berterusan meningkatkan ekosistem pendidikan melalui pembinaan infrastruktur pendidikan moden dan kondusif.

Projek ini katanya disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan salah satu inisiatif strategik Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak.

“Projek ini bernilai RM10.15 juta dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula 21 Mac 2023 menerusi kaedah ‘Reka dan Bina’. Manakala Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan pada 4 Mac tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021)- Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di SMK Saribas, Debak dekat sini, hari ini.

Nanta menjelaskan mengenai skop projek ini, ia merangkumi kerja pembinaan sebuah dewan tertutup, dua bilik darjah baharu, sebuah bilik Pendidikan Seni Visual dan dua unit rumah guru (Kelas F).

Skop kerja ini juga termasuk kerja meroboh Block SAGA dan sebuah blok kuarters lama bagi memberi ruang kepada pembinaan struktur baharu yang lebih moden dan teratur.

“Projek ini turut mengadaptasi teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan.

“Reka bentuk projek ini menggunakan pendekatan ESG-Environment, Social and Govemance yang mana bangunan dibina bukan sahaja memenuhi keperluan pendidikan tetapi juga bersifat mampan, berdaya tahan dan sesuai untuk semua termasuk orang kurang upaya,” jelasnya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam.