Edisi kedua Kajian Indeks Belia Sarawak dijangka siap akhir tahun ini

SERIAN: Edisi kedua Kajian Indeks Belia Sarawak kini sedang giat dijalan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, kajian tersebut melibatkan penyertaan dari 45 daerah di seluruh Sarawak, dengan pelaksanaannya dikendalikan oleh golongan profesional termasuk pensyarah universiti yang turun padang untuk menjalankan penyelidikan di peringkat akar umbi.

“Proses penyelidikan ini akan mengambil masa beberapa bulan dan dilaksanakan secara menyeluruh bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang belia Sarawak hari ini,” katanya semasa sidang media sempena Sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat negeri di Pusat Konvensyen Serian, hari ini.

Kajian tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya, kali terakhir kajian ini dilaksanakan pada 2018, dan dalam tempoh tujuh tahun antara dua edisi ini menjadikan kajian semasa lebih signifikan untuk memahami perubahan perspektif serta cabaran belia masa kini.

Sarawak kini menjadi salah satu daripada hanya tiga negeri di Malaysia yang menjalankan kajian indeks belia tersendiri, selain Sabah dan Johor.

Tambah beliau, penyelidikan itu memberi fokus kepada enam domain utama iaitu pendidikan, ekonomi, kesejahteraan mental dan fizikal, sosialisasi politik dan kenegaraan, nilai dan jati diri, serta kewarganegaraan digital.