Sarawak sasarkan capai 100 peratus kanak-kanak dapat didikan awal

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited menyediakan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerajaan mensasarkan untuk mencapai 100 peratus kanak-kanak mengikuti pendidikan awal kanak-kanak, dengan kerjasama pelbagai agensi iaitu Jabatan Pendidikan, KEMAS, PERPADUAN, BPPMIS dan pengusaha swasta.

“Strategi pembangunan pasca Covid (PCDS) 2030 menekankan keperluan membangunkan modal insan secara menyeluruh, bermula dari akar umbi, iaitu daripada peringkat awal kanak-kanak.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru 2025 di Hotel UCSI malam tadi.

Menurutnya, pendidik dan pengasuh Institusi Awal Kanak-kanak (IPAKK) bukan sahaja mengasuh dan mengajar, tetapi membentuk jiwa, memupuk nilai murni, dan membuka pintu pertama kepada dunia ilmu.

Dalam mendepani arus reformasi pendidikan yang semakin kompleks dan dinamik, peranan pendidik khususnya pendidik pendidikan awal kanak-kanak menjadi semakin luas, tegas beliau.