SELANGAU: Penyelesaian isu pemilikan tanah di Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Sekuau kini menjadi keutamaan dalam usaha mempercepat pembangunan dan penambahbaikan kemudahan bagi penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata proses penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sedang dijalankan untuk memastikan tanah yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat dapat diagihkan dengan adil kepada komuniti tempatan.
“Penyelesaian isu pemilikan tanah adalah keutamaan kerana ia menjadi asas kepada pelaksanaan projek pembangunan seperti pembinaan balai polis, klinik dan sekolah di kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Sekuau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Jubli Emas Skim Penempatan Semula Nanga Sekuau Ke-50 di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MK63) berkata, isu tanah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana ia menjadi prasyarat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan lain yang dirancang di kawasan tersebut.
Beliau turut mengimbas sejarah penubuhan SPS Nanga Sekuau pada tahun 1970-an sebagai sebahagian daripada usaha keselamatan negara untuk mengekang ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
Beliau turut menyokong cadangan membina sebuah tugu peringatan di Nanga Sekuau untuk menghargai jasa penduduk dalam mempertahankan negara.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM560,000 bagi kerja baik pulih dan penambahbaikan rumah panjang yang melibatkan lebih 600 pintu rumah.
Selain itu, peruntukan RM1.3 juta juga diluluskan untuk pembinaan dewan serbaguna baharu yang amat diperlukan oleh masyarakat setempat.
Projek loji rawatan air di kawasan itu sedang dalam proses tender di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dan Fadillah berjanji akan memantau perkembangan projek bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.
