MATU: Ahli Majlis Daerah Matu dan Daro perlu sentiasa mengutamakan integriti, keikhlasan dan komitmen dalam menjalankan tugas.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, ahli perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama.
“Kita harus bekerja dalam satu pasukan, bergerak seiring dalam membawa pembangunan yang mampan demi Sarawak yang terus maju dan makmur,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut semalam.
Seramai 27 Ahli Majlis bersama seorang Pengerusi Majlis Daerah Matu dan Daro mengangkat sumpah jawatan di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Matu dan Daro.
Jelas Michael Tiang, majlis ini langkah penting memperkukuh struktur pentadbiran tempatan dan memperbaharui ikrar perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Igan, Dewan Undangan Negeri(DUN) Jemoreng dan sekitar Pekan Matu.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab; Pengerusi Majlis Daerah Matu, Ismail Kasah; Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro, Chiong Siew Ping dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Matu Daro, Rudi Suib.
