KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) disaran menilai semula struktur organisasinya bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat bekalan tenaga di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting memandangkan pengeluaran tenaga kini telah dipisahkan sebagai entiti berasingan.
Katanya, ia perlu diselaraskan dengan undang-undang sedia ada seperti Ordinan Elektrik (Ordinan SEB).
“Saya ingin minta SEB supaya mempunyai pandangan baharu terhadap struktur anda. Disebabkan oleh perkembangan bekalan tenaga ini, mungkin SEB juga perlu distruktur semula mengikut undang-undang yang ada seperti Ordinan SEB atau Ordinan Elektrik.
“Lihat semula perkara ini kerana kita telah asingkan pengeluaran tenaga sebagai satu entiti berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Vendors dan Kontraktor Sarawak Energy di sini, malam tadi.
Tambah beliau, jika semakan semula dilakukan, SEB disaran meneliti secara teknikal keperluan menubuhkan organisasi baharu yang dapat meningkatkan lagi pengeluaran tenaga – antara pengeluaran dan pembekalan kepada pasaran.
“Saya serahkan perkara ini kepada Lembaga Pengarah SEB untuk menelitinya dan saya harap anda dapat kemukakan satu kertas cadangan kepada saya sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Majlis turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abg Hipni; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.
