Latihan, insentif JKKK ditambah baik

BETONG: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai rakan pembangunan luar bandar.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu berkata, usaha membawa pembangunan ke kampung tidak akan dapat direalisasikan sepenuhnya tanpa kerjasama JKKK.

Katanya, bagi memperkasa JKKK, pelbagai latihan, insentif dan bantuan telah disediakan dan akan terus ditambah baik.

“Ini demi memastikan pentadbiran di peringkat kampung berjalan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penghargaan JKKK Pentadbiran Pejabat Daerah Betong.

Seramai 13 pengerusi JKKK, 20 setiausaha JKKK dan enam ketua masyarakat paling aktif sepanjang tahun 2024 telah menerima sijil penghargaan perkhidmatan terbaik masing-masing dalam majlis itu.

Bagi anugerah JKKK contoh bagi tahun 2024 telah dimenangi oleh JKKK Kampung Melayu Baru Hulu Betong.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri dan Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.