Enam startup anak tempatan terpilih ke program Scale Sarawak

KUCHING: Enam startup yang diasaskan oleh anak jati Sarawak terpilih menyertai kohort kedua program Scale Sarawak, sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Endeavor Malaysia.

Program yang berlangsung dari Mei hingga Oktober ini membimbing SOL Digital, Belibeli Super App, OINC, Noms Fochun Founders, Kosa Coffee dan Satok Bridge Digital menerusi pelbagai sokongan strategik termasuk bimbingan peribadi, latihan pembangunan kapasiti serta akses rangkaian industri bertaraf antarabangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli yang juga Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata, Scale Sarawak adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memupuk bakat keusahawanan digital yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi masa depan negeri ini.

Selain itu, katanya ia juga selaras dengan aspirasi Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19.

“Program ini menyediakan alat, panduan dan pendedahan yang diperlukan oleh usahawan untuk berkembang serta bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay berkata, pihaknya komited menyokong pengasas syarikat berimpak tinggi di Sarawak agar mereka mampu membina perniagaan bertaraf dunia.