31 ahli Majlis Daerah Sebuyau angkat sumpah

KUCHING: Seramai 31 ahli Majlis Daerah Sebuyau dilantik hari ini, sekali gus mencatat sejarah pertama sejak Sebuyau dinaik taraf menjadi daerah penuh.

Menteri Telekomunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata pelantikan itu adalah usaha strategik kerajaan memperkukuh pentadbiran tempatan dengan memilih individu berkelayakan dan mewakili pelbagai latar belakang.

“Pelantikan ini, yang pertama sejak Sebuyau dinaik taraf sebagai daerah penuh, bertujuan membina pentadbiran yang inklusif dan responsif kepada keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Sebuyau di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Beliau menegaskan ahli majlis perlu memahami peranan mereka, mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Selain itu, bertindak proaktif dalam merangka dasar dan memantau pembangunan di zon masing-masing.

Julaihi turut mengingatkan ahli majlis supaya sentiasa terbuka kepada suara rakyat dan mengutamakan kepentingan komuniti.

Pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi.