31 Ahli Majlis Daerah Gedong angkat sumpah, lafaz ikrar bebas rasuah

KUCHING: Seramai 31 Ahli Majlis Daerah Gedong mengangkat sumpah dalam majlis berlangsung di Raia Hotel petang tadi.

Majlis tersebut turut disaksikan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Acara dimulakan dengan lafaz sumpah oleh Pengerusi Majlis Daerah Gedong, Tamida Da’adi, diikuti oleh Timbalan Pengerusi, Japar Mustapha, sebelum disusuli oleh 29 Ahli-Ahli Majlis lain.

Turut berlangsung ialah Lafaz Ikrar Bebas Rasuah oleh semua Ahli Majlis Daerah Gedong sebagai komitmen terhadap integriti dan tadbir urus yang telus dalam menjalankan tugas mereka demi kepentingan rakyat dan pembangunan daerah.

Majlis turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Timbalan-timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Datuk Dr. Penguang Manggil.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; Penasihat MINTRED merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.