Abdul Karim dilantik Ketua Penerangan Parti PBB baharu, Dr Abdul Rahman Junaidi bendahari

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baharu manakala Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sebagai bendahari.

Pelantikan mereka diputuskan dalam Mesyuarat MajlisTertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sesi 2025-2028, kemudian diumum Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas pelantikan itu, Abdul Karim ketika ditemui menzahirkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
atas kepercayaan untuk beliau memegang jawatan baharu itu meskipun gagal mempertahankan
jawatan Naib Yang di-Pertua parti pada pemilihan Perhimpunan Agung Parti PBB Februari lalu.

“Ini menunjukkan kepercayaan untuk saya bersama-sama dalam Majlis Tertinggi (MT) parti kali ini,” katanya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Abdul Karim menjelaskan, sebagai Ketua Penerangan parti baharu, beliau akan bekerja rapat dengan pucuk pimpinan parti dan juga Setiausaha Agung, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, ini terutama dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak berbentuk peribadi tetapi menjurus kepada kehendak parti.

Sebelum ini, Ketua Penerangan dipegang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang.