Lapangan Terbang Tanjung Manis bakal dinaik taraf

TANJUNG MANIS: Lapangan Terbang Tanjung Manis bakal berwajah baharu selepas kerajaan negeri meluluskan kerja-kerja menaik taraf prasarana tersebut dengan anggaran kos RM372 juta.

Ia diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil menambah, kerja-kerja menaik taraf akan meliputi pembinaan terminal baharu, pemanjangan landasan, menara kawalan trafik udara serta kemudahan imigresen, kastam dan keselamatan.

Katanya, projek ini dilaksanakan bagi membolehkan pesawat jenis ATR72 mendarat dan berlepas memandangkan sebelum ini lapangan terbang terbabit hanya menerima pesawat jenis ‘twin otter’.

“Sebab ini, saya dalam Kerajaan Sarawak telah berbincang dan kita akan melabur untuk membesarkan lapangan terbang ini dengan anggaran peruntukan berjumlah RM372 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Pelancaran Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis di Dewan Industri Kecil Sederhana, di sini, semalam.

Katanya, lapangan terbang ini akan berpotensi diperbesarkan lagi pada masa hadapan, sekiranya jumlah ketibaan pesawat meningkat, sekaligus membolehkan ia menerima ketibaan pesawat ‘airbus’.

Hal ini kerana ujarnya, pelbagai pembangunan infrastruktur dan tarikan sedang dirancang di Tanjung Manis, termasuklah pusat peraginan seluas 568 ekar berhampiran Pantai Belawai.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.