KUCHING: SME Corp. Malaysia mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam, di sini, semalam.
Delegasi SME Corp. Malaysia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Dato’ Nainy.
Kunjungan hormat kepada Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan agensi pusat.
Ini dalam usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak.
Antara agenda utama dikemukakan ialah Pelan Strategik Perniagaan (BSP) SME Corp. Malaysia yang memberi fokus kepada lima bidang utama.
Antaranya penyertaan PKS dalam rantaian nilai industri berimpak tinggi, pengantarabangsaan PMKS, pengembangan perusahaan mikro, pendigitalan PKS, dan pengukuhan peranan SME Corp. Malaysia dalam ekosistem keusahawanan negara.
Disamping itu SME Corp. Malaysia turut menjemput Timbalan Premier Sarawak untuk merasmikan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dijadual pada 21 hingga 28 Mei 2025 di Sarawak Sports Village.
Program ini menyasarkan pembangunan bakat keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera melalui latihan intensif dan modul pembentukan jati diri.
Turut hadir, Menteri Muda Perindustrian dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh , Penasihat Khas MINTRED, Dato Seri Mohd Naroden Majais, serta Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkarnain Masron.
