Satu lagi jambatan rentas Batang Rajang jadi permintaan penduduk

SARIKEI: Penduduk di Bahagian Sarikei dan Mukah memohon dipertimbangkan pembinaan satu lagi jambatan merentasi Sungai Batang Rajang di sini.

Ini selepas siapnya pembinaan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 km, di sini melibatkan peruntukan dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak RM321 juta.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, jambatan itu permintaan kedua dari tiga permintaan projek yang dipohon penduduk terbabit bagi pertimbangan seterusnya Premier Sarawak.

“Permintaan yang kedua ialah satu lagi jambatan yang merentasi Batang Rajang, selebar 300 meter (m) bagi menghubungkan  Tanah Putih/Sarikei ke Parit Bugis, Bukit Huang dan Muara Payang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi Sarikei yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata Parit Bugis, Bukit Huang dan Muara Payang didiami oleh Masyarakat Melayu, Bugis, Iban dan Cina. 

Katanya, permintaan pertama pula ialah menaik taraf jalan Bintangor/Sarikei sepanjang 14 km yang juga laluan utama menghubungkan Sarikei ke Bintangor seterusnya ke Sibu dari  standard Jabatan Kerja Raya (JKR) U3 ke U5.  

“Ketiga ialah pembangunan jalan raya JKR U3  dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo ke kawasan ini dengan jarak 11 km,” katanya.

Beliau berkata, jaringan jalan raya ini akan memberi kemudahan kepada penduduk dari pelbagai arah, sama ada dari Bahagian Betong, Sri Aman, Bintulu Kapit dan sebagainya ke Pelabuhan Tanjung Manis. 

“Semoga ketiga-tiga permohonan ini mendapat lampu hijau daripada Premier  bagi melengkapkan keseluruhan Pembangunan di Wilayah Tengah,” tambahnya.