KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Persidangan Rabies Borneo edisi keempat yang dijadual berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ia sekali gus memperkukuh usaha berterusan membanteras penularan rabies di rantau ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penganjuran persidangan tersebut akan menghimpunkan wakil dari Sabah, Kalimantan (Indonesia), Brunei Darussalam serta beberapa negara yang mempunyai pengalaman membendung rabies seperti Mexico dan Korea Selatan.
Menurut beliau, kolaborasi rentas sempadan amat penting dalam menangani penyakit zoonotik yang membawa maut ini, lebih-lebih lagi dengan pergerakan bebas haiwan di sempadan.
“Kita sedar menghapus rabies bukan tugas mudah, malah masih banyak negara belum berjaya membasminya. Justeru, ia menuntut usaha kolektif melibatkan semua pihak – daripada jabatan veterinar, pihak berkuasa tempatan hingga ke komuniti pemilik haiwan,” katanya semasa sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dr Rundi menjelaskan, satu kes kematian melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun akibat jangkitan rabies dicatatkan tahun ini selepas digigit kucing.
“Virus rabies menyerang otak dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Walaupun hanya digigit atau dicakar, tindakan pantas mendapatkan rawatan adalah penting,” tegasnya.
Sementara itu, kes jangkitan dalam kalangan manusia mencatatkan 84 kes dengan 76 kematian direkodkan dalam tempoh yang sama.
