KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bertegas akan memastikan segala undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalseliaan industri pengedaran gas di Sarawak dipatuhi sepenuhnya.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengawalseliaan aktiviti pengedaran gas di negeri ini tertakluk kepada Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Fungsinya setara Akta Bekalan Gas 1993 di peringkat Persekutuan namun tidak terpakai di Sarawak, katanya.
“Berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 bertindak sebagai pihak berkuasa kawal selia, di Sarawak, tanggungjawab tersebut terletak kepada Pengarah Pengedaran Gas yang dilantik di bawah DGO 2016,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Ujarnya, Pengarah Pengedaran Gas bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap semua keperluan pelesenan.
Selain itu, mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti kewangan terhadap sebarang ketidakpatuhan, tanpa menjejaskan sebarang prosiding pendakwaan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
Tegas beliau lagi, setiap pihak yang terlibat dalam aktiviti pengagihan dan pembekalan gas diwajibkan memohon lesen di bawah Seksyen 7, DGO 2016.
“Kegagalan mematuhi keperluan pelesenan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 20 (jenayah) atau Seksyen 21A (tuntutan sivil) ordinan tersebut, dan boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, sejak pindaan ke atas DGO 2016 pada 2023, katanya kementerian beliau telah melaksanakan beberapa langkah kawal selia yang signifikan.
“Antaranya ialah pengeluaran sebanyak 14 lesen aktiviti kepada pemain industri huluan dan 537 lesen kepada pemain industri hiliran,” katanya.
