KUCHING: Kerajaan Sarawak melantik syarikat perunding antarabangsa dari Belanda, NACO (Netherlands Airport Consultants) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Kuching.
Menteri Pengkutan Sarawak (MOTS), Dato Sri Lee Kim Shin berkata, surat lantikan telah diserahkan kepada NACO pada 21 Mei lalu.
Katanya, syarikat itu akan bekerjasama dengan perunding tempatan – Jurutera Jasa – untuk melaksanakan kajian secara menyeluruh.
“Pelantikan ini dibuat melalui proses perolehan yang mematuhi sepenuhnya peraturan dan tadbir urus sedia ada,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau menjelaskan, NACO dipilih berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap kelayakan teknikal, cadangan kewangan serta pengalaman luas dalam bidang pembangunan infrastruktur penerbangan.
“NACO mempunyai lebih 75 tahun pengalaman dan terlibat dalam lebih 700 projek lapangan terbang di peringkat global, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Changi di Singapura, Incheon di Korea Selatan, Frankfurt di Jerman dan Schiphol di Amsterdam,” jelasnya.
Tambah Lee Kim Shin, kajian kebolehlaksanaan yang bakal dijalankan itu akan meliputi pelbagai komponen utama, termasuk pemilihan lokasi, kajian ruang udara, penilaian impak alam sekitar dan sosial, ramalan permintaan penumpang dan kargo, analisis pasaran serta perancangan awal konsep lapangan terbang.
“Turut diberi penekanan ialah elemen daya tahan terhadap perubahan iklim, penglibatan pihak berkepentingan serta pematuhan terhadap keperluan perundangan dan peraturan,” katanya lagi.
