KUCHING: Sebanyak 95 permohonan bagi mendapatkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 19 Mei 2025.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, hanya 35 permohonan atau 36.8 peratus diluluskan, manakala baki 60 permohonan (63.2 peratus) ditolak kerana tidak memenuhi syarat.
“Antara sebab ditolak ialah tiada sijil lahir, bukan sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak, tiada permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan pemohon berumur lebih daripada 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Fatimah turut menegaskan komitmen berterusan kementeriannya dalam membantu golongan tanpa kewarganegaraan, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, agar mereka tidak terpinggir daripada akses kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
Menyentuh perkara lain, beliau berkata KPWK giat melaksanakan program pemerkasaan bagi membangunkan ekonomi wanita di negeri ini.
Katanya, program pemerkasaan ekonomi tersebut menyasarkan golongan ketua isi rumah wanita dan ibu tunggal dalam kumpulan B40.
“Inisiatif ini merangkumi dua jenis bantuan keusahawanan iaitu Bantuan Ketua Isi Rumah
Wanita Sarawak (KIRWaS) yang diberikan dalam bentuk tunai, dan Geran Modal Pemerkasaan
Wanita Sarawak yang disalurkan dalam bentuk peralatan perniagaan.
“Sejak 2022 sehingga 2024, seramai 1,814 usahawan wanita menerima manfaat daripada Bantuan KIRWaS. Daripada jumlah itu, seramai 1,311 usahawan berhasil menjana pendapatan bulanan. Sehingga kini, pendapatan tertinggi adalah RM3,950,” katanya.
